Wednesday, August 3, 2011

Sejalur Pelangi

SESEKALI Haji Syamsul teringat setangkai puisi yang tidak berjudul itu:

Yang dipeluk itu rindu

teramat rindu

yang didakap itu sepi

teramat sepi

tak siapa pun menyelaminya

erti sebuah kebahagiaan

telah terlaksana

segunung pengorbanan

dalam laut kepayahan

dikutip karang-karang cinta

yang amat panjang

teramat panjang

tapi kini

adanya seperti tiada

tiadanya seperti ada

tak bolehkah dirasai

sedikit kebahagiaan

di hujung usia ini?

Haji Syamsul terbayang wajah Datuk Zahir yang masih gagah, sihat semua. Tentu sesekali kemahuannya ada walaupun sudah berusia menjangkau enam puluh lapan. Setia berjoging dan bersenam, pantas bermain golf dan sesekali berenang dengan cucu-cucu di kolam renang Kelab Saujana itu.

Alangkah seronoknya berpeluk bergomol dengan cucu di kolam renang itu. Tak terasa sejuk dingin di teduhan bayu petang hingga matahari merajuk dan tenggelam. Tapi kocak air yang kebiruan masih mercik beriak ketepian kerana anak-anak orang lain terus di situ macam kelkatu, lompat melompat berterjunan ke air macamlah alam ini sudah berjanji tidak mahu tidur.

"Cukup…," kata Datuk Zahir kepada cucunya yang dipanggil Bob itu. Dia membiarkan Bob mengapung sendiri ketepian. 

"Ambil tuala pada Wan," arahnya.

Ketika itu, si burung walet menggila di udara, terbang silang menyilang, junam menjunam seolah-olah hendak jatuh ke air, ada kalanya mengacah-acah seperti sepasang kepaknya sudah patah terkulai. Tapi tidak, si burung walet terlalu gembira, barangkali banyak kelkatu tersesat di situ atau makhluk itu mahu menghantar mesej kepada orang ramai, pulanglah kerana maghrib sudah hampir tiba. Kalau Datuk Zahir boleh bercakap dengan si burung walet, pertama sekali, dua perkara yang mahu ditanyanya: Pernahkah kamu rindu? Pernahkah kamu sepi?

Dan, sekiranya si burung walet mahu berkumpul, hinggap di mana-mana, Datuk Zahir tidak akan menangkap mengurung merampas kebahagiaannya kerana kebahagiaan itu terlalu mahal, kebebasan dan keriangan itu tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Berbahagialah si burung walet seperti dunia ini kamu yang punya. Tetapi semasa si burung walet hinggap, mahu Datuk Zahir bercerita dan bertanya panjang-panjang kisah manis dan pahit selama 45 tahun bersama Zulaika atau Ika. Tidak ada yang kurang walaupun dalam kekurangan.

"Pernahkah kamu patah hati?" mahu Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.

Kalau terlanjur bertanya dan bercerita, Datuk Zahir akan meminta pandangan si burung walet yang sentiasa bahagia, bukan soal rindu, sepi dan patah hati saja. Mungkin otak si burung walet yang kecil itu lebih pintar dari otak seorang manusia yang bijaksana.

"Pernahkah kamu tidur sendirian, dingin sedingin-dinginnya?" Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.

Kalau boleh, mahu Datuk Zahir meminta kepada si burung walet: Bolehkah aku meminjam kepak kamu, aku mahu terbang menyeberang Selat Melaka, mengembara dari pulau ke pulau, manalah tahu, aku akan ternampak tercapai sekuntum mawar merah atau mawar biru seperti keindahan yang aku rasa semasa aku bersama Zulaika waktu muda-muda dahulu. Bolehkah aku menggapai masa lalu, membawa keindahan itu berpeluk beradu di masa kini?.
Mustahil? Tidak! Aku sihat dan masih gagah, tidak seperti Zulaika yang derita sudah berbelas tahun. Derita yang panjang.

Dan kalau boleh, kalaulah boleh, kamu bisikkan ke telinga Zulaika, katakan padanya: Tidak bolehkah suamimu merasai sedikit kebahagiaan di hujung usia? Sebenarnya, suamimu tak sampai hati hendak bertanya begitu kepada insan yang dia amat sayang, dia tidak tertahan melihat kelayuan matamu yang derita.

Dan kini, Datuk Zahir naik ke atas, kelihatan Zulaika sedang mengelap tubuh cucu kesayangannya Bob. Walaupun nampak lemah di kerusi roda, tapi Zulaika masih boleh bergurau dengan Bob. Barangkali, Bob yang montel itu adalah pembalut suka luka.

"Kita solat di surau kelab ini," kata Datuk Zahir kepada Zulaika. "Tidak sempat kejar masa balik ke rumah, maghrib dah dekat."

Penyair
Zulaika angguk-angguk tanda setuju. Datuk Zahir terus menolak kerusi roda isterinya bersama Bob lalu meninggalkan kolam renang Kelab Saujana.

Datuk Zahir bukanlah seorang penyair seperti Usman Awang atau Amir Hamzah. Dia sebenarnya seorang wartawan dan ahli politik yang berjaya. Tapi dia insan yang amat perasa, mudah tersentuh dengan peristiwa suka luka begini. Dan dia pernah meluahkan perasaannya itu:

Berbelas tahun

bagaikan satu malam

satu malam

bagaikan berbelas tahun

tapi dia adalah segalanya

dia ibu anak-anakku

dia Wan cucu-cucuku

air mata tidak mungkin

memadamkan tulisan cinta

dan air mata

tak mungkin

membasuh sepi dan rindu.

Selepas solat maghrib di surau Kelab Saujana, Datuk Zahir dan Bob menolak kerusi roda Zulaika ke Terrace Café yang menghadap ke kolam renang. Ketika itu, malam sudahpun berlabuh, tidak mahu menunggu siapa-siapa, dan masa tidak pernah berjanji mahu menunggu siapa-siapa. Sedar tak sedar, rupanya, sudah hampir 15 tahun Zulaika menderita lumpuh akibat serangan angin ahmar dulu. Sudah puas keluar masuk hospital, sudah puas berurut di sana sini, sudah puas dengan jampi serapah, sudah puas dengan doa air penawar atau air zam-zam, tapi setakat ini, Zulaika belum sembuh lagi.

"Abang kecewa?" sesekali Zulaika bertanya suaminya. "Abang kesal beristerikan Ika?"

Datuk Zahir tetap memberikan semangat: "Tidak, abang sayang Ika, abang sayang anak-anak dan cucu-cucu."

"Abang boleh bersabar?"

"Boleh"

"Berapa lama?"

"Seperti janji dahulu."

"Janji duhulu?"

"Ya…, kalau kering Selat Melaka padamlah sayang abang pada Ika."

"Sungguh?"

"Memang, kasih pertama tidak pernah berakhir."

Biasanya orang yang sakit dan derita, memerlukan semangat pertolongan dan perlindungan. Sepatah kata sayang sudah cukup menjadi ubat yang paling mujarab, apatah lagi diberikan pengakuan kasih sayang yang tidak akan kering dan kasih pertama tidak pernah berakhir. Ini bukan saja dengan kata-kata, malah dengan tindakan yang dapat dirasa dan dipandang. Sebab itu, Datuk Zahir setiap malam berada di rumah menemani Zulaika, tidak akan ke mana-mana kecuali kalau terpaksa menghadiri mesyuarat di mana-mana.

Tetapi Haji Syamsul, sahabat rapat Datuk Zahir yang hampir sebaya itu, sesekali, tetap menyelam perasaan sahabatnya itu. Dan petang semalam, di Coffee House Impian Inn, sekali lagi Haji Syamsul bertanya.

"Betulkah kau berkeinginan?"

"Keinginan apa?"

"Kau kata, adanya seperti tiada, tiadanya seperti ada."

"Itu perasaan."

"Kenyataannya?"

"Susah nak cakap."

"Aku rasa tak susah, jawablah ingin atau tidak."

Sampai di situ, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu suaranya meletus, "Ingin, tapi pertimbangan mengatasi keinginan."

"Tapi kau juga yang bertanya, tak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia?"

"Itu hanya pertanyaan,." jawab Datuk Zahir. "Itu hanya sebuah puisi."

"Cubalah kau bercakap benar pada sahabat lama kau ini, kalau boleh aku bantu, aku akan bantu."

"Bantu apa?"

"Carikan sekuntum mawar merah atau mawar biru."

Sekali lagi, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu, dia berkata: "Aku sudah berjanji dengan Zulaika, dialah yang awal dan akhir."

"Tapi untuk kebaikan mendirikan masjid, tidak salah mungkir janji."

"Tak salah?"

"Tak."

"Ah, terlukalah hati Zulaika, hancurlah hati Zulaika."

"Tidak."

"Masakan tidak."

"Aku yakin tidak, kerana yang tahu aku dan kau saja."

Datuk Zahir terdiam, sepantas kilat melintas di bayangannya wajah seorang gadis hitam manis berambut panjang baju kebaya, gemuk tidak kurus pun tidak, yang pernah "tertemu" dalam penerbangan KL - Jakarta setahun lalu.

"Mengapa terdiam?" pintas Haji Syamsul.

"Bolehkah berahsia?" Datuk Zahir memberi respons. "Kalau meletup macam mana?"

"Kau mesti yakin," sahut Haji Syamsul. "Biarlah rahsia."

Kalau begitu, ungkapan tidak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia itu, sudah terjawab. Nampaknya, Datuk Zahir sudah tersenyum. Dia terfikir, kalau sudah dijamin "biarlah rahsia", gadis hitam manis berambut panjang itu boleh dihubungi bila-bila masa. Walaupun usia si gadis itu sudah lanjut, sekitar 35 tahun, tapi dia kelihatan cukup anggun kerana dia adalah seorang pegawai tinggi di sebuah bank di Kuala Lumpur.

"Belum sampai jodoh," kata gadis yang bernama Suhaily itu. "Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tidak, apa nak dikata."

Kerancakan perbualan dalam pesawat KLM KL - Jakarta itu amat menarik. Penerbangan satu jam 45 minit agak lama juga. Dapatlah berbual panjang kerana "rezeki" mendapat tempat duduk bersebelahan dengan Suhaily di tingkat atas bahagian eksekutif itu

Tapi selepas peristiwa itu, Datuk Zahir mula memikirkan sejalur pelangi. Kisah hidup yang penuh kepedihan kerinduan kesepian begini tak ubah seperti sejalur pelangi. Walaupun cantik dan indah mengenang masa lalu, tapi kehidupan itu sudah jauh ditinggalkan.

Seperti sejalur pelangi

melengkung di dada langit

indahnya pancaran warna

siapa tukang lukisnya

langit menjadi kanvasnya

tak nampak tepian

tak nampak hujungnya

dan kehidupan masa lalu

tak ubah seperti pelangi

tak seindah warnanya

kerana ia padam sendiri.

Dan kini, Datuk Zahir sudah meninggalkan Terrace Café dan kolam renang Kelab Saujana. Pemandunya, Zailan, sudah menunggu di hadapan lobi kelab bersama Audi A6 berwarna hitam dengan pintu yang terbuka. Sekejap saja kereta itu sudah berlalu. Tidak diketahui apakah Datuk Zahir masih teringatkan kisah si burung walet yang terlalu gembira, atau mungkin tidak perlu lagi berfantasi mahu meminjam kepak si burung walet untuk mencari sekuntum mawar merah atau mawar biru dari pulau ke pulau.

Datuk Zahir berseorangan di dalam bilik buku "Anjung Ilmu" di rumahnya petang ini. Petang-petang begini, selepas asar sebelum maghrib, amat sesuai sekejap membaca buku bersantai-santai. Cucu-cucunya yang ada tidak boleh mengganggu kerana pintu tertutup rapat. Zulaika pun telah berpesan kepada pembantu rumah, Susanti: "Jangan biarkan budak-budak mengganggu sekitar bilik buku."

Dan tiba-tiba, Datuk Zahir terdengar suara Susanti memanggil-manggil, gopoh-gopoh dan sekejap saja, pintu bilik "Anjung Ilmu" diketuk berkali-kali, kuat sekali. Gegar suara dan ketukan pintu berbaur dengan suara yang bertambah gugup. Datuk Zahir meluru dan terus menguak pintu. Susanti semacam menggigil.

"Datin sakit amat," katanya gugup. "Tolong Datin, tolong Datin."

Datuk Zahir meluru ke bilik Zulaika dan sekejap saja dia sudah terpacak di hadapan katil Zulaika.

"Ya, Allah!" Datuk Zahir terus mencapai telefon bimbit di sisi kepala katil. Tentunya dia menghubungi ambulans. Selepas itu, dia mencapai sebotol air mineral di atas meja kecil di sudut katil, membuka penutup botol itu, dituang sedikit air ke tapak tangan kanan dan dipercik air ke muka Zulaika, dilurut rata-rata ke muka Zulaika yang kelihatan pucat sekali.

"Ika!" Datuk Zahir memanggil. "Ika! Ika!!" terus memanggil-manggil, tapi Zulaika tidak bersuara. Dan Datuk Zahir terus mencapai tangan kiri Zulaika, lalu membelek-belek tapak tangan Zulaika, kemudian ibu jari Datuk Zahir cuba menekan urat nadi di pergelangan tangan Zulaika, tekan lama-lama.

"Oh! masih ada," meletus suaranya.

"Telefon anak-anak di kantor," perintah Datuk Zahir kepada Susanti.

"Baik Datuk," sahut Susanti masih gugup.

"Ika!" Datuk Zahir menepuk-nepuk pipi Zulaika kiri dan kanan. "Ika! Ika!!" diulang berkali-kali, tapi tidak berjawab, hanya kelihatan dahi Zulaika berkerut rapat, menahan kesakitan tentunya.

Dan tiba-tiba, dada Datuk Zahir menjadi sebak, dipaut dan digoncangnya bahu Zulaika. "Ika!" ulangnya, dan ketika itu, Datuk Zahir terus mencium pipi Zulaika kiri dan kanan dengan linangan air mata!

"Ika! Ika!" suaranya bergetar. "Percayalah, abang tak mahu sebarang mawar, kasih pertama tak pernah berakhir. Abang tak mahu sedikit kebahagiaan di hujung usia itu. Sembuhlah, biarlah abang terus menahannya, berkorban sepanjang hayat untukmu."

Di sini, di petang ini, tidak ada si burung walet, tidak ada. Kedengaran jeritan ambulans bertambah hampir ke kawasan elit, Taman Sunway Prima, Bukit Rahman Putra.

WAQWAQ

Katanya dia belayar meninggalkan Basrah setelah peristiwa Yahya bin Abdillah ibn Hasan ibn Ali ibn Abi Talib yang digelar jiwa yang suci hilang daripada tawanan Khalifah Harun al-Rashid. Yahya ibn Abdillah ditahan di rumah Jaffar al-Barmaki dengan Jaffar bertanggungjawab mengawasinya. Tetapi kemudian Yahya ibn Abdillah terlepas lari - dilepaskan oleh seorang wanita demi penghormatan terhadap keluarga Rasulullah s.a.w. Jaffar berkata kepada Harun al-Rashid, "Saya telah melepaskannya". Tidak lama kemudian Harun al-Rashid telah menyingkirkan keluarga Barmaki yang berpengaruh sekian lama dalam istananya. Jaffar al-Barmaki yang membesar bersama beliau dan menjadi penasihat utama Harun al-Rashid dipenggal kepalanya.

Masudi belayar meninggalkan Basrah dan tidak lama kemudian mengalir darah keluarga Barmaki yang dibunuh Harun al-Rashid kerana masalah politik. Harun al-Rashid telah memburu musuh-musuh politiknya termasuk Yahya ibn Abdillah dan para pengikutnya. Ghaliat Masudi membelah Laut Arab meninggalkan gejolak dan kegawatan di wilayah Abbassiah. Ghaliat Masudi mengikuti laluan yang pernah dilalui oleh Abdul Mulk bin Syibab al-Masmai, Panglima Khalifah Al-Mahdi bapa Harun al-Rashid yang menyerang Gujrat di India. Masudi tiba di Gujrat yang terdapat ramai bangsa Arab dan orang Islam setelah melayari Lautan Hindi. Di situ Masudi mendengar kembali cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq. Dongeng tentang bidadari yang mempunyai sayap seperti burung didengarnya sejak dia kecil ketika hidup di Basrah. Pelayar-pelayar Arab yang pulang membawa pelbagai barangan juga membawa pelbagai cerita. Cerita-cerita benar bercampur dongeng, mitos dan khayalan mengisi cerita-cerita pelaut di Basrah. Tetapi terdapat cerita tentang Masudi sendiri, yang mungkin juga dongeng. Masudi dikatakan membawa lari Yahya ibn Abdillah dalam kapalnya yang berlepas dari Basrah. Yahya ibn Abdillah, ahlul bait dari nasab Saidina al-Hassan ibn Ali ibn Abi Talib. Tiada siapa yang dapat mengesahkan hal tersebut.

Dia belayar meninggalkan Gujrat. Berpandukan maklumat yang diberikan oleh pedagang-pedagang Arab yang tiba dari China, dia belayar mencari negeri yang dinamakan Waqwaq. Lautan Hindi yang disebut bhar-e-Hind oleh pelayar Arab dilayari dengan ghaliat bersama anak-anak kapalnya, iaitu pelaut yang mereka panggil nawwat. Laut ini mempunyai ikan-ikan besar, ganas dan menakutkan, jika kau belayar pada waktu malam bunyikan loceng untuk menakutkan mereka. Itu kata pedagang Arab yang telah melayari lautan yang penuh misteri ini. Di bhar-e-Hind atau Laut Hargind ini ada ribuan pulau kecil. Dia melencong mengelakkan pulau-pulau kecil dan menuju ke lautan luas. Pelayarannya meredah lautan menuju ke timur jauh. Benar, laut ini mempunyai ikan-ikan besar yang ganas. Semakin jauh dia bergerak ke tengah lautan segara sehingga tidak kelihatan sebarang daratan atau pulau selama berminggu-minggu, semakin banyak ikan-ikan besar dan pelbagai macam hidupan laut menghampiri ghaliatnya. Tetapi loceng yang dibunyikan dengan kuat segera menakutkan ikan-ikan itu. Pada malam hari mereka menyalakan lampu di kapal dan membunyikan loceng apabila mendengar deburan-deburan yang aneh di laut yang gelap.

Bertenggek
Ikan-ikan ini memang menakutkan tetapi ia tidak lebih menakutkan daripada cerita pelaut-pelaut dahulu kala tentang seorang tua yang muncul dari laut, menaiki kapal dan bertenggek di haluan kapal dengan wajah yang tersembunyi di sebalik rambut dan janggutnya yang panjang. Tiada siapa yang berani mendekati. Tidak lama kemudian kapal itu akan musnah diamuk badai. Makhluk aneh dari laut ini muncul untuk memberi petanda buruk. Sukar untuk mereka mempercayainya, tetapi pelaut yang terselamat dari kapal yang karam menceritakan hal ini. Lalu mereka berjaga-jaga agar makhluk apa dari laut itu tidak melompat tiba-tiba dari laut dan bertenggek di kapal mereka.

Dua hari mereka diamuk badai. Entah benar entah tidak, sebelum badai menerpa seorang nawwatnya melihat sesuatu muncul dari laut pada malam yang gelap. Tetapi si nawwat itu segera membunyikan loceng untuk menakutkan makhluk itu. Seorang nawwat lagi tiba dan membaling lembing ke arah makhluk itu. Kebetulan angin agak kuat, lalu ghaliat itu belayar laju. Makhluk itu hilang, tetapi nawwat yang pertama tadi melihat bahawa makhluk seperti manusia itu cuba menaiki ghaliat mereka. Mereka tiba-tiba diserbu rasa seram yang sangat aneh. Keesokan harinya badai tiba-tiba turun seperti gulungan hitam dari langit. Laut bertukar menjadi wajah gergasi yang amat ganas. Ghaliat mereka dilambung dan dihempas seperti sehelai daun di tengah lautan. Dua hari hari dua malam mereka tidak tidur menimba air agar ghaliat tidak tenggelam dan mengharung gelora berperang dengan badai. Hari ketiga badai sedikit reda, dan mereka semua bergilir-gilir berehat.

Dia berehat di dalam kabinnya. Ketika dia memilih untuk menjadi pejuang, dia tidak pernah memaksa sesiapa mengikutinya. Tetapi mereka mengikutinya kerana perjuangan mereka sendiri. Sekarang dia di meja, bau minyak zaitun yang menyalakan api pada lampu pelita melegakan rasa mual dan loyanya selama dua hari diamuk laut. Di atas mejanya, di tepi carta pelayaran terletak istinggar iaitu senjata baru yang boleh membunuh musuh dari jauh. Mengikut pedagang yang ditemuinya di Gujrat, senjata ini dinamakan istinggar dan berasal dari negeri berperadaban tinggi bernama Waqwaq. Namun seorang pedagang Cina yang ditemuinya berkata bahawa senjata itu dimajukan daripada bedil yang direka di China. Waqwaq adalah sebuah negeri yang mana pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pedagang. Tidak mustahil kepandaian orang China telah diambil dan dimajukan untuk merekacipta istinggar ini.
Dua sungai besar mengalir ke Laut Parsi, Bahr-e-Faras dan Khasybat-ul-Basra. Matanya mencari Gujrat. Kota-kota pesisiran pantai Konkan, Cemur, Subarh, Thana dan Khambayat, semua menghadap ke Laut Hargind. Pandangan turun ke timur. Antara Teluk Parsi dan Laut China, carta ini menunjukkan pelbagai tempat yang harus dilalui. Dia mencari di manakah Waqwaq. Tidak ada disebutkan langsung dalam carta ini. Apakah Waqwaq benar-benar wujud atau hanya dongeng daripada pelaut-pelaut yang mabuk digoncang gelombang. Bagaimanapun dia percaya, Waqwaq terletak di pertengahan laluan antara Laut Hargind dan Laut China. Dia mengkaji carta dengan teliti. Dia percaya bahawa dari Gujrat, setelah melalui Khambayat 10 hari pelayaran mereka akan menemui Kalah, kemudian menyusur selat melalui Zabarjad sehingga tiba di Zabaj, dan kemudian Pulau Faulat sebelum membelok belayar lebih 10 hari sehingga bertemu Sinf, dan akhirnya sampai di Jinji, Laut China Selatan sebelum mereka masuk ke China melalui Khanfua.

Peradaban
Dia meneliti dan terdiam sejenak. Pengiraannya menunjukkan bahawa Waqwaq kemungkinan berada antara Kalah dan Zabaj. Dia percaya corak tanah serta kedudukannya menjadikan setompok tanah subur di bawah langit ini melahirkan penduduk-penduduk yang cerdas dan kuat, sehingga mereka terdorong untuk mewujudkan sebuah peradaban yang besar, maju dan hebat. Dia percaya Waqwaq terletak di wilayah yang subur itu. Dia mengukur cartanya, membuat tanda-tanda dan kemudian dilukis garis-garis yang selari. Dia menandakan Kalah, dan menandakan satu titik antara Kalah dan Zabaj. Ya, Waqwaq di situ. Wilayah di sini telah mempunyai peradaban-peradaban besar seawal 500 tahun sebelum tahun Hijrah, atau 1000 tahun sebelum Hijrah lagi. Dia tahu daripada catatan pelayar-pelayar Arab dahulu kala yang mendapat cerita daripada pelayaran mereka ke Timur Jauh.

Setelah seminggu berlalunya peristiwa mereka diamuk badai, sebuah daratan terlihat - Kalah. Ia dikenali daripada Gunung Jerai yang putih disapu kabus. Sebuah kerajaan besar tinggalan peradaban Hindu-Buddha. Ada keinginan yang meluap di dalam hatinya. Ketika berjalan di Zafariah bukankah seorang lelaki membuka pintu dan bertanyanya, 'apa yang kamu cari semalam?'. Dia tidak dapat mengingatnya. Orang itu marah dan menutup pintu. Setelah itu dia teringat permintaannya kepada Tuhan semalam, lalu dia hendak mencari pintu tetapi gagal menemuinya. Kini dia menemui pintu di sini. Pintu untuk dimasuki membawa cahaya Tuhan. Apa yang dapat kau tawarkan untuk mereka menukarkan agama mereka kepada agamamu? Dia melihat ke dalam dirinya. Aku ada sebuku roti dan segelas air. Satu untuk mengenyangkan dan satu menghilangkan dahaga. Itulah kata-katanya, dan kemudian Islam pun masuk ke Kalah, kerana penduduk yang cerdas ini mempunyai kebijakan untuk menerima fikiran-fikiran yang tinggi.

Dia memikirkan bagaimana jika sebuah peradaban besar yang ada di tenggara Asia ini menjadi sebuah tamadun Islam baru yang lebih berkuasa daripada khalifah Abbasiyyah yang memburunya. Dia tidak memikirkan tentang dendam kepada Abbasiyyah yang membunuh keluarga Barmaki, dan memburu semua musuh termasuk keluarga dan pengikutnya dari golongan keluarga Ali r.a. Beberapa kurun kemudian keluarga Ali r.a dari nasab Hussein menjujutkan keturunan Alawiyyah yang digelar Syed. Sementara keturunan Ali r.a dari nasab Hassan seperti dia digelar Sharif. Dia memikirkan tentang bagaimana sebuah peradaban besar ini dapat dimunculkan sebagai tamadun Islam sebagaimana Khurasan dan Parsi bertukar menjadi sebuah wilayah ketamadunan Islam. Suatu hari ketika bersama Raja di Kalah, menonton sebuah persembahan. Tiba-tiba cerita dalam persembahan itu menyucuk hatinya seperti jarum. Ia bercerita tentang putera Sithon berjuang untuk mendapatkan isterinya yang difitnah iaitu Manohara yang pulang kembali ke negerinya. Manohara ialah manusia separuh burung daripada bangsa Kinrara. Beberapa kurun kemudian persembahan ini dikenali sebagai menora. Segera cerita tentang Waqwaq menyeka di dalam kepalanya.

Besoknya dia mengembangkan layar bersama semua nawwatnya meninggalkan Kalah. Antara Kalah dan Zabaj ini dia harus menemukan Waqwaq. Dia telah membuat kiraan mengikut segala garis yang terdapat di carta. Orang Arab telah mencipta alat pelayaran yang paling ajaib di dunia. Ketika mereka perlu memastikan arah selain daripada bergantung kepada buruj dan bintang, mereka menggosok sebatang besi sehingga mengeluarkan daya aneh yang boleh menariknya kepada arah utara. Besi itu diletakkan di dalam air lalu berpusing ke arah utara, lalu mereka namakan qutb numa. Sejak itu qutb numa menjadi alatan paling maju dan berharga buat pelayar-pelayar Arab. Tetapi bukankah Nabi Daud a.s mengajar bagaimana menggosok kotak yang mempunyai jarum besi, dan akhirnya mengajar tentang sifat-sifat besi? Dengan menggunakan qutb numa dia membawa ghaliatnya ke Waqwaq.

Mereka akhirnya menemui Waqwaq, benar ia sebuah peradaban maju di Tenggara Asia. Manusia burung hanya dongeng. Bangsa ini sebangsa dengan bangsa di Kalah, Zabarjad, Zabaj dan wilayah tenggara yang luas ini; berkulit putih dan sawo matang, oleh perubahan cuaca di garis khalulistiwa. Ketinggian mereka sederhana, kuat berjuang dan mempunyai kecerdasan yang luar biasa. Mereka telah membangunkan sebuah peradaban yang maju dengan senibina kapal, alat-alat senjata serta susunan masyarakat yang teratur. Di suatu muara, dia menemui perkataan Melayu yang juga pernah melambangkan sebuah kerajaan besar yang berdiri lebih dua kurun sebelum tahun Hijrah. Lalu peradaban Asia Tenggara mendapat pengenalan baru, iaitu Melayu yang melambangkan tamadun Islam.
Mencipta

Bangsa Melayu ini mencipta istinggar iaitu senjata yang boleh menembak dan membunuh dari jauh dengan letupan yang dahsyat. Mereka juga mencipta istinggar yang lebih pendek disebut pemuras dan terakol, selain lela rentaka yang lebih besar ditembak dan mengeluarkan daya pemusnah yang luar biasa hebatnya. Pada abad terkemudian istinggar ciptaan bangsa Melayu menjadi asas kepada penciptaan senapang atau rifal di Eropah, dan pemuras serta terakol yang mula-mula dicipta oleh bangsa Melayu menjadi moyang kepada pistol yang dicipta oleh bangsa Eropah. Ukuran bangsa Melayu yang berasaskan 12, termasuk ukuran tahun dalam daur Melayu juga menjadi ukuran orang-orang Inggeris seperti kaki dan inci, bahkan ukuran ela menjadi asas kepada ukuran yard Inggeris. 200 tahun kemudian tanah Waqwaq muncul sebagai tamadun Melayu-Islam yang besar di Asia Tenggara, 200 tahun lebih awal dari sejarah yang dicatatkan secara rasmi kemudiannya.

Dia membaca daripada ilmu ahli kaji manusia bangsa Arab, bahawa bangsa Melayu yang cerdas dan berhati baik ini memang sedia asal wujud di wilayah ini. Mereka bukan bangsa pendatang dari Yunan atau dibina oleh peradaban India. Sebaliknya bangsa Melayu ini yang belayar ke wilayah yang jauh dan mengambil segala kebudayaan luar masuk ke wilayah mereka, sehingga menjadikan mereka maju dan cerdas. Beberapa abad kemudian orang Eropah yang keluar daripada kegelapan sesudah Perang Salib telah menakluki bangsa Melayu dan mencipta sejarah palsu di wilayah ini. Seabad setelah itu pendatang-pendatang dari wilayah China dan India dibawa masuk ke wilayah bangsa Melayu untuk menyempurnakan sejarah palsu yang dicipta oleh penjarah Eropah. Wilayah alam Melayu tiba-tiba menjadi milik semua orang, sehingga bangsa Melayu tidak ada hak lagi untuk menyatakan wilayah ini ialah wilayah asal Melayu-Islam tanpa dituduh bersifat perkauman dan pelampau.

Pada zaman yang kemudian, ditemui batu nisan seorang wali berbangsa Arab di Pekan, Pahang bertarikh tahun 419Hijrah bersamaan tahun 999Masehi - sezaman dengan Masudi. Kemasukan orang Arab ke Pahang adalah sama ada yang datang dari China atau dari Melaka. Masudi hanya belayar sehingga ke Gujrat, dan kemudian pulang semula ke Basrah, meninggalkan ghaliatnya di Gujrat. Ghaliatnya belayar menuju ke Timur Jauh, oleh nakhoda yang tidak dikenali. Masudi menulis cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq di mana tinggalnya puteri-puteri jelita separuh manusia separuh burung. Tidak dipastikan dengan jelas di manakah letaknya Waqwaq. Ada yang mengatakan letaknya di Zanzibar, Amazon, Seychelles, Madagaskar, Jawa, malah Melaka, atau China. Pelayar-pelayar Arab terkemudian menamakan Pulau Jepun sebagai Waqwaq. Tetapi pada hakikatnya Waqwaq yang asal tidak pernah diketahui dengan pasti letaknya. Masudi yang pulang ke Basrah, segera berbaik-baik dengan golongan Abbasiyyah dan tuduhannya melepaskan Yahya bin Abdillah seorang ahli sufi, pejuang dan keturunan Hassan ibni Ali bin Abi Talib itu lenyap begitu sahaja. Dan sejarah-sejarah yang berlaku ketika itu juga dilenyapkan begitu sahaja, termasuk apa yang berlaku di timur jauh, di Kalah, Zabarjad, Zabaj, Faulat, Sinf dan Waqwaq. Nama-nama ini kemudian dikenali sebagai Kedah, Sumatera, Jawa, Temasik, Champa dan Melaka - sebuah wilayah ketamadunan Melayu-Islam yang hanya dicatat muncul pada abad ke-15, lewat dua kurun daripada sejarah yang sebenar.

Sejarah adalah milik pihak yang menang.

Penghujung Nyawa

MATI itu pasti!

Dia pasti, ini bukan soal keliberalan mutlak individu, ini adalah soal nyawa, soal hidup. Soal sebuah anugerah. Bukan di tangan manusia diberikan kuasa untuk mengakhiri nyawa manusia lain segampangnya atau nyawanya sendiri.

Pintu wad C 4-32 terkuak. Macet mesin penyambung hayat dan alat perakam oksigen mengisi sunyi. Dia masuk. Dua orang jururawat, baru usai membersihkan tubuh pesakitnya mohon permisi keluar.

Dia menghampiri jendela yang masih kemas tertutup. Mengintai kalau-kalau kelibat Eddie sudah menunggunya di luar. Masih belum tiba. Lokasi bilik pesakit yang dibina menghadap taman dengan jendela yang sengaja bersaiz besar amat strategik. Dari situ, dia boleh mengintai separuh daripada bandar Copenhagen.

Dia kembali rapat ke lereng katil. Fail hitam dicapai. Ali Khan-nama yang tertera di hujung kepala katil. Suhu badan pesakit tetap sama-tidak menurun. Tekanan darah si pesakit masih rendah akibat luka besar di kepalanya. Irisnya menyelongkar beg darah yang berjuntai ke bawah. Ralit dia memerhati titis-titis ubat-ubatan dan darah yang disalurkan menerusi wayar ke urat arteri pesakit. Bunyi ventalitor menghenjut turun naik dada pesakit membunuh lamunannya.

Fail laporan yang kejap di tangan dibaca.

Imej tengkorak oleh alat pengimbas CT scan mendedahkan ada gumpalan darah beku dan kawasan bengkak lebih besar pada bahagian otak kanan. Kesan hentakan kuat kepala dengan stereng yang mengakibatkan luka yang parah. Pesakit kehilangan darah yang banyak.

Dia memasang jeda. Memeriksa wayar-wayar yang berselirat di sekitar kepala pesakit. Semuanya baik. Laporan tadi ditelek kembali.

Jumlah cecair yang mengisi ruang antara otak dan tengkorak si pesakit terlalu sedikit. Cecair lazimnya berfungsi sebagai penyerap tekanan, namun apabila keduanya saling berlanggar pada kelajuan tinggi, dan tengkorak secara tiba-tiba berhenti, cecair yang bertindak sebagi buffer tidak cukup antara permukaan tisu otak yang licin dan lapisan keras tengkorak. Otak membengkak akibat lebihan air dalam tisu otak.

Dia menutup fail. Permintaan Eddie melalui telefon sebentar tadi bersilih ganti dengan amanat daripada Professor Sallah Hussain, pensyarahnya ketika dia menuntut di university of Science and Technology, Jordan.
“Tidak kira secara aktif ataupun pasif, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Dalam Islam, tidak ada perbezaan antara pasif dan aktif memandangkan matlamat keduanya adalah untuk mengkhatamkan nyawa manusia. Sebagai pengamal perubatan, tidak kira jika mereka sekadar memberi nasihat ataupun menolong, mereka tetap dikira bersubahat dan hukumnya tetap sama.”

Dia meninggalkan signature di hujung sudut kertas laporan. Tanda pesakit telah diperiksa. Ada keluhan yang diheret sama keluar daripada wad. Tetapi yakin, keputusannya adalah muktamad!
Prinsip

“Aku berpegang pada prinsip, bukan sekadar logik akal semata-mata. Agama adalah prinsip. Wahyu mengatasi rasional manusia.”

Mereka berdua berjalan beriringan. Tanpa membiarkan masanya larut hanya dengan berjalan, laju Emilda mendahului Eddie Khan menuruni anak tangga untuk ke taman yang dibina mengunjur mengikut cerun topografi bukit. Duga Emilda, Hospital Bispebherg yang dibina dengan keluasan 21 hektar ini boleh diibaratkan umpama sebuah oasis hijau ditengah-tengah kesibukan kota Copenhagen.

Emilda, antara yang bertuah daripada jumlah 3000 orang staff yang bertugas di situ. Saban hari, setelah penat bekerja, taman ini jadi tempat dia menyeka peluh. Hampir tujuh tahun Emilda bekerja sebagai doktor di situ, dia hafal sejarah Hospital Bispebjerg yang dibina pada tahun 1907 dan siap enam tahun kemudian. Bispebjerg dibina sekitar tahun 1850-an setelah ramai yang berhijrah ke kota lewat era perindustrian bermula.

Emilda yang hampir tergelecah dengan kasut tumit tingginya, sempat berpaut pada lengan Eddie. Gesit, dia menarik semula tangannya setelah posisinya stabil.

“Tidak ada masalah, Emilda. Tidak perlu kau takut, kau di Denmark sekarang, bukannya Malaysia. Permintaan ini bukannya sukar. Kau punya kepakaran itu sebagai seorang doktor.”

Emilda mewakafkan langkah. Tubuh kecil moleknya dipusingkan ke belakang-tepat menghadap landahur yang berdiri satu anak tangga mengatasinya. jejaka kacukan Denmark-India itu direnung. Semakin mengecil. Eddie pegun sambil tangan masih merogoh poket celananya.

“Ini bukan soal latar geografi yang menghalang, Eddie. Ini soal halal haram. Sungguhpun kau seorang optometris, harus kau juga celik undang-undang bahawa hanya tiga negara di dunia ini yang menghalalkan euthanasia, tidak termasuk negara kau.”

Atonansi tinggi yang dilantunkan Emilda tidak menjadi batu penghalang untuk Eddie terus mengekori gadis genit itu. Jejaka yang berkaca mata dengan hidung mancung terpatuk itu masih tidak berputus asa untuk meracuni kotak fikiran Emilda. Dia berlari anak mengejar setelah ditinggalkan Emilda sendirian di belakang.

“Kau tahu Eddie, semakin bijak dunia, teknologi semakin laju membiak. Dengan sentuhan ajaib dadah, mesin penyambung hayat, pemindahan organ mahupun organ tiruan, penghujung nyawa manusia seakan dapat ditangguh. Namun pesakit yang kronik dan nazak jugalah yang tetap lelah bertarung dengan derita meskipun nyawa dapat dipanjangkan. Atas nama simpatilah lantas euthanasia dihalalkan.”

Emilda memperlahankan kelajuan derapan kakinya. Mereka berpapasan dengan sekumpulan warga emas yang ceria sedang berjogging di turapan pejalan kaki.

“Masakan semudah itu kau melupakan kisah yang membingungkan mahkamah ketika Robert Ruskin yang menembak mati ibunya yang sedang terlantar bertarung dengan kanser. Berhujahkan sebaris ayat; ‘dia yang meminta saya melakukannya’, pembunuh yang menembak ibu kandungnya sendiri tiga das berturut-turut itu dilepaskan. Kau lihat bila jenayah dimanipulasikan pihak tertentu.”

Kot putih ditanggalkan dan disidai di lengan. Emilda memeluk tubuh.

“Tapi Emilda, ianya sudah diterima sebagai norma masyarakat Barat. Tidak ada masalahnya...”

Emilda diam. Eddie juga turut terdiam seketika. Gesit Emilda melabuhkan punggungnya di atas bangku yang dikelilingi aneka bunga. Sengaja dia memilih ruang yang tampak privasi untuk lebih selesa berbicara. Haruman mawar yang sedang galak mengembang di penghujung musim semi mengapung rongga hidung. Tas tangan diletakkan di sebelah. Kemudian, tanpa izin Eddie meriba tas kulit Emilda dan duduk di sebelahnya.

"Eddie, aku kira kau sebagai lelaki yang dibesarkan di Copenhagen, kau akan lebih arif bahawa Barat selalu bergelut dengan konflik hidup mereka sendiri. Sehingga hari ini, euthanasia masih dalam perdebatan dan pertikaian. Tetapi, sebagai Muslim, kita berbeza. Aku mafhum masyarakat di sini menerima euthanasia dengan alasan ia adalah mercy killing. Kematian secara rahmat. Apatah lagi, kalau ianya atas permintaan pesakit sendiri mahupun ianya telah mendapat kebenaran keluarga terdekat.”

Tas tangannya diambil semula dari tangan Eddie. Dia mencelup poket tas dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Memeriksa kalau-kalau ada pesanan baru yang masuk.

“Dan, sebagai seorang kawan, apakah kau sanggup melihat papa kawanmu sendiri menderita? Terlantar umpama mayat hidup di atas katil. Papa aku terseksa! Apa ertinya dia terus hidup kalau setiap suapan dimuntahkan kembali? Badannya seolah-olah tiada fungsi lagi. Dan aku fikir inilah cara yang terbaik...Kau punya pilihan Emilda, paling tidak matikan sahaja mesin penyambung hayat segera. Aku tidak betah melihat papa ditindih sengsara...”

Eddie Khan menyerkap rambut perangnya. Hilai tawa pasangan remaja yang sedang bercumbuan di pinggir taman hinggap memukul gegendang telingannya. Pandangannya ditumpahkan pada lelaki tua yang sedang menyapu daun- daun kering yang bersepahan. Ada segumpal geram menggempur tebing atmanya. Egonya tercabar dengan pendirian doktor muda itu.

“Tetapi Eddie, jangan kau tidak tahu FirmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke 216. Tuhan tidak akan melontarkan ujian di luar kemampuan hambaNya. Bermakna, Tuhan lebih tahu takah mana kemampuan kita sebelum diuji. Dan juga, harus kau tahu, sama ada ia dilakukan ketika pesakit itu sedar ataupun tidak, ia tetap dikira satu pembunuhan. Aku enggan melakukannya, Eddie. Usah mengasak aku lagi.”

Emilda bangkit. Terus dia meredah karpet hijau menuju ke deretan pohon Hycinthus berona merah jambu dan Pansy ungu yang memancing naluri perempuannya ke sana. Sedar akan Eddie telah bersebelahan dengannya, dia menjahit kembali penjelasannya.

“Islam menjadikan Maqasid shariah sebagai kompas panduan jika berhadapan sebarang masalah. Maqasid shariah adalah untuk menjaga kemaslahatan umat dan mengelakkan kemudaratan pada agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Ada beberapa kemaslahatan mengapa euthanasia tidak dibenarkan. Pertama, untuk memelihara kemaslahatan hidup, euthanasia sama ada secara aktif ataupun pasif adalah haram kerana mengakhiri nyawa seseorang.”

Eddie memetia seraut wajah ayu milik Emilda dalam diam. Meskipun di tengah gelojak budaya Barat, Emilda masih tetap berbaju kurung dan bertudung litup. Perempuan Melayu yang terdampar jauh di Copenhagen atas desakan kerja.

“Kedua, untuk memelihara agama, euthanasia diharamkan kerana ia adalah cubaan untuk mengkhianati tanggungjawab dan amanah sebagai manusia. Kau pun mafhum kita dicipta sebagai khalifah, apakah mungkin fikir kau khalifah akan melakukan yang demikian?"

Perasan dengan kesempatan yang diambil Eddie, Emilda duduk mencium kuntuman Pansy tadi. Wajahnya diangkat, memandang Eddie yang masih tercegat berdiri.

“Tidak terlepas yang ketiga, untuk memelihara keturunan. Seandainya euthanasia dibenarkan, kelak ia akan menggalakkan kematian secara kes bunuh diri, homosid, ataupun genosid.”

Sekuntum stedmorderblomst berona violet yang telah layur bergontai digetis Emilda. Sempat, tudungnya yang sedikit senget dikibar-kibar angin sore yang berdesir-desir kasar diperbetulkan kembali. Eddie menguis-nguis pasir dengan hujung kakinya.

“Mungkin kau tidak tahu, euthanasia ditentang kerana mungkin masih ada cara lain untuk merawat pesakit. Ikhtiar itu dituntut selagi termampu. Junjungan sendiri bersabda, setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali mati. Dalam perubatan, masih banyak perkara yang sedang dikaji dan masih belum dibuat kajian. Tuhan tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak mengubah nasib diri kita sendiri. Dieuratic yang aku berikan masih dapat membantu bengkak papamu untuk surut. Cuma, mungkin akan mengambil masa sedikit.”

Sekali lagi pandangan Emilda dan Eddie bersatu. Sebuah buku bertukar tangan. Eddie menyambut huluran Emilda.
“Bacalah, kau akan fahaminya nanti.”

Emilda melangkah ke arah siulan kawanan burung Chiffchaffs yang berdecit di celahan pohon pain yang berbaris. Dari jarak sepuluh meter, Eddie melaung, “Tapi Emilda, kau pun bersetuju dengan aku bahawa euthanasia boleh menamatkan segala penderitaan emosi dan fizikal si pesakit bukan?"

Emilda enggan berganjak pada prinsip yang dipegang selari dengan tuntutan Islam- ‘la dharara wa la dhiraar’. Tidak ada sesiapa yang akan disakitkan ataupun menyebabkan kesakitan pada orang lain.

“Itu cuma omongan manusia yang melihat, Eddie. Sedangkan sebagai Muslim, kita diajar oleh al-Quran kesakitan maut itu diukur mengikut neraca iman manusia. Mereka yang beriman akan merasa penderitaan itu suatu ujian, bahkan boleh bertukar menjadi nikmat jika sampai ke takah puncak kemanisan iman. Sedangkan, yang kafir itulah yang akan kekal merasa azab dan sakitnya. Soal meringankan penderitaan itu bukan kepada pesakit, tetapi kepada penjaga pesakit, bukan?"

Eddie ditebak rasa tidak selesa diancam soalan sebegitu. Dia melangkah ke kanan, mengambil jalan berpisah untuk kembali ke wad papanya.

Mungkar
“Terima kasih kerana mengingatkan aku daripada melakukan yang mungkar. Benar Emilda, ini soal prinsip beragama. Bukan sekadar soal melanggar etika perubatan dan menurut pertimbangan akal sahaja.”

Emilda terkesima. Tadi dia hanya bersunyian sendiri di situ. Lewat seminggu pemergian Uncle Ali Khan, dia sering singgah menziarahi makam papa teman baiknya.

“Sama-sama kasih, sahabat.”

Eddie duduk berjarak. Satu jag air mawar dihulurkan pada Emilda disambut. Eddie membaca doa, Emilda menadah tangan. Doa diamin. Mata Eddie berkaca. Emilda mengguyur siraman mawar tadi rata ke tanah.

“Kematian itu sesuatu yang pasti. Tidak diawalkan, dan tidak dilewatkan. Surah Al Munafiquun, ayat yang kesebelas berbunyi; dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan”.

Eddie bangkit dan mengisari seluarnya. Dia mendahalui Emilda keluar dari kawasan perkuburan .

“Aku kagum dengan kau Emilda. Di tengah malapnya cahaya Islam di Copanhagen ini, masih ada lilin yang bertahan untuk bernyala.”

Eddie menanggal kacamata daripada pundak hidungnya.

“Terima kasih atas buku yang yang bermanfaat ini. Sekarang aku sudah jelas. Kematian papa juga membuatkan aku bermuhasabah. Nyawa adalah amanah.”

Buku Islamic Ethics of Life:Abortion, War, and Euthanasia (Studies in Comparative Religion) tulisan Jonathan E. Brockopp dikembalikan Eddie.

“Ayuh, aku hantar kau pulang”. Emilda mengangguk. Ada persoalan yang dikelek pulang bersama bilakah detik penghujung nyawaku akan datang?

Kosa kata.
* Genosid: pembunuhan (penghapusan) secara sengaja sesuatu bangsa atau kaum.
* Hemosid: pembunuhan terhadap seseorang oleh orang lain
* Euthanasia aktif: Mempercepatkan kematian seseorang dengan tindakan secara langsung seperti menyuntik ubatan tertentu yang boleh membawa maut dengan segera.
* Euthanasia pasif: Mempercepatkan kematian dengan cara menghentikan bekalan makanan, air, ubatan atau prosedur-prosedur yang perlu bagi meneruskan hidup pesakit.

Salam Ramadan

Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.