SESEKALI Haji Syamsul teringat setangkai puisi yang tidak berjudul itu:
Yang dipeluk itu rindu
teramat rindu
yang didakap itu sepi
teramat sepi
tak siapa pun menyelaminya
erti sebuah kebahagiaan
telah terlaksana
segunung pengorbanan
dalam laut kepayahan
dikutip karang-karang cinta
yang amat panjang
teramat panjang
tapi kini
adanya seperti tiada
tiadanya seperti ada
tak bolehkah dirasai
sedikit kebahagiaan
di hujung usia ini?
Haji Syamsul terbayang wajah Datuk Zahir yang masih gagah, sihat semua. Tentu sesekali kemahuannya ada walaupun sudah berusia menjangkau enam puluh lapan. Setia berjoging dan bersenam, pantas bermain golf dan sesekali berenang dengan cucu-cucu di kolam renang Kelab Saujana itu.
Alangkah seronoknya berpeluk bergomol dengan cucu di kolam renang itu. Tak terasa sejuk dingin di teduhan bayu petang hingga matahari merajuk dan tenggelam. Tapi kocak air yang kebiruan masih mercik beriak ketepian kerana anak-anak orang lain terus di situ macam kelkatu, lompat melompat berterjunan ke air macamlah alam ini sudah berjanji tidak mahu tidur.
"Cukup…," kata Datuk Zahir kepada cucunya yang dipanggil Bob itu. Dia membiarkan Bob mengapung sendiri ketepian.
"Ambil tuala pada Wan," arahnya.
Ketika itu, si burung walet menggila di udara, terbang silang menyilang, junam menjunam seolah-olah hendak jatuh ke air, ada kalanya mengacah-acah seperti sepasang kepaknya sudah patah terkulai. Tapi tidak, si burung walet terlalu gembira, barangkali banyak kelkatu tersesat di situ atau makhluk itu mahu menghantar mesej kepada orang ramai, pulanglah kerana maghrib sudah hampir tiba. Kalau Datuk Zahir boleh bercakap dengan si burung walet, pertama sekali, dua perkara yang mahu ditanyanya: Pernahkah kamu rindu? Pernahkah kamu sepi?
Dan, sekiranya si burung walet mahu berkumpul, hinggap di mana-mana, Datuk Zahir tidak akan menangkap mengurung merampas kebahagiaannya kerana kebahagiaan itu terlalu mahal, kebebasan dan keriangan itu tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Berbahagialah si burung walet seperti dunia ini kamu yang punya. Tetapi semasa si burung walet hinggap, mahu Datuk Zahir bercerita dan bertanya panjang-panjang kisah manis dan pahit selama 45 tahun bersama Zulaika atau Ika. Tidak ada yang kurang walaupun dalam kekurangan.
"Pernahkah kamu patah hati?" mahu Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.
Kalau terlanjur bertanya dan bercerita, Datuk Zahir akan meminta pandangan si burung walet yang sentiasa bahagia, bukan soal rindu, sepi dan patah hati saja. Mungkin otak si burung walet yang kecil itu lebih pintar dari otak seorang manusia yang bijaksana.
"Pernahkah kamu tidur sendirian, dingin sedingin-dinginnya?" Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.
Kalau boleh, mahu Datuk Zahir meminta kepada si burung walet: Bolehkah aku meminjam kepak kamu, aku mahu terbang menyeberang Selat Melaka, mengembara dari pulau ke pulau, manalah tahu, aku akan ternampak tercapai sekuntum mawar merah atau mawar biru seperti keindahan yang aku rasa semasa aku bersama Zulaika waktu muda-muda dahulu. Bolehkah aku menggapai masa lalu, membawa keindahan itu berpeluk beradu di masa kini?.
Mustahil? Tidak! Aku sihat dan masih gagah, tidak seperti Zulaika yang derita sudah berbelas tahun. Derita yang panjang.
Dan kalau boleh, kalaulah boleh, kamu bisikkan ke telinga Zulaika, katakan padanya: Tidak bolehkah suamimu merasai sedikit kebahagiaan di hujung usia? Sebenarnya, suamimu tak sampai hati hendak bertanya begitu kepada insan yang dia amat sayang, dia tidak tertahan melihat kelayuan matamu yang derita.
Dan kini, Datuk Zahir naik ke atas, kelihatan Zulaika sedang mengelap tubuh cucu kesayangannya Bob. Walaupun nampak lemah di kerusi roda, tapi Zulaika masih boleh bergurau dengan Bob. Barangkali, Bob yang montel itu adalah pembalut suka luka.
"Kita solat di surau kelab ini," kata Datuk Zahir kepada Zulaika. "Tidak sempat kejar masa balik ke rumah, maghrib dah dekat."
Penyair
Zulaika angguk-angguk tanda setuju. Datuk Zahir terus menolak kerusi roda isterinya bersama Bob lalu meninggalkan kolam renang Kelab Saujana.
Datuk Zahir bukanlah seorang penyair seperti Usman Awang atau Amir Hamzah. Dia sebenarnya seorang wartawan dan ahli politik yang berjaya. Tapi dia insan yang amat perasa, mudah tersentuh dengan peristiwa suka luka begini. Dan dia pernah meluahkan perasaannya itu:
Berbelas tahun
bagaikan satu malam
satu malam
bagaikan berbelas tahun
tapi dia adalah segalanya
dia ibu anak-anakku
dia Wan cucu-cucuku
air mata tidak mungkin
memadamkan tulisan cinta
dan air mata
tak mungkin
membasuh sepi dan rindu.
Selepas solat maghrib di surau Kelab Saujana, Datuk Zahir dan Bob menolak kerusi roda Zulaika ke Terrace Café yang menghadap ke kolam renang. Ketika itu, malam sudahpun berlabuh, tidak mahu menunggu siapa-siapa, dan masa tidak pernah berjanji mahu menunggu siapa-siapa. Sedar tak sedar, rupanya, sudah hampir 15 tahun Zulaika menderita lumpuh akibat serangan angin ahmar dulu. Sudah puas keluar masuk hospital, sudah puas berurut di sana sini, sudah puas dengan jampi serapah, sudah puas dengan doa air penawar atau air zam-zam, tapi setakat ini, Zulaika belum sembuh lagi.
"Abang kecewa?" sesekali Zulaika bertanya suaminya. "Abang kesal beristerikan Ika?"
Datuk Zahir tetap memberikan semangat: "Tidak, abang sayang Ika, abang sayang anak-anak dan cucu-cucu."
"Abang boleh bersabar?"
"Boleh"
"Berapa lama?"
"Seperti janji dahulu."
"Janji duhulu?"
"Ya…, kalau kering Selat Melaka padamlah sayang abang pada Ika."
"Sungguh?"
"Memang, kasih pertama tidak pernah berakhir."
Biasanya orang yang sakit dan derita, memerlukan semangat pertolongan dan perlindungan. Sepatah kata sayang sudah cukup menjadi ubat yang paling mujarab, apatah lagi diberikan pengakuan kasih sayang yang tidak akan kering dan kasih pertama tidak pernah berakhir. Ini bukan saja dengan kata-kata, malah dengan tindakan yang dapat dirasa dan dipandang. Sebab itu, Datuk Zahir setiap malam berada di rumah menemani Zulaika, tidak akan ke mana-mana kecuali kalau terpaksa menghadiri mesyuarat di mana-mana.
Tetapi Haji Syamsul, sahabat rapat Datuk Zahir yang hampir sebaya itu, sesekali, tetap menyelam perasaan sahabatnya itu. Dan petang semalam, di Coffee House Impian Inn, sekali lagi Haji Syamsul bertanya.
"Betulkah kau berkeinginan?"
"Keinginan apa?"
"Kau kata, adanya seperti tiada, tiadanya seperti ada."
"Itu perasaan."
"Kenyataannya?"
"Susah nak cakap."
"Aku rasa tak susah, jawablah ingin atau tidak."
Sampai di situ, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu suaranya meletus, "Ingin, tapi pertimbangan mengatasi keinginan."
"Tapi kau juga yang bertanya, tak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia?"
"Itu hanya pertanyaan,." jawab Datuk Zahir. "Itu hanya sebuah puisi."
"Cubalah kau bercakap benar pada sahabat lama kau ini, kalau boleh aku bantu, aku akan bantu."
"Bantu apa?"
"Carikan sekuntum mawar merah atau mawar biru."
Sekali lagi, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu, dia berkata: "Aku sudah berjanji dengan Zulaika, dialah yang awal dan akhir."
"Tapi untuk kebaikan mendirikan masjid, tidak salah mungkir janji."
"Tak salah?"
"Tak."
"Ah, terlukalah hati Zulaika, hancurlah hati Zulaika."
"Tidak."
"Masakan tidak."
"Aku yakin tidak, kerana yang tahu aku dan kau saja."
Datuk Zahir terdiam, sepantas kilat melintas di bayangannya wajah seorang gadis hitam manis berambut panjang baju kebaya, gemuk tidak kurus pun tidak, yang pernah "tertemu" dalam penerbangan KL - Jakarta setahun lalu.
"Mengapa terdiam?" pintas Haji Syamsul.
"Bolehkah berahsia?" Datuk Zahir memberi respons. "Kalau meletup macam mana?"
"Kau mesti yakin," sahut Haji Syamsul. "Biarlah rahsia."
Kalau begitu, ungkapan tidak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia itu, sudah terjawab. Nampaknya, Datuk Zahir sudah tersenyum. Dia terfikir, kalau sudah dijamin "biarlah rahsia", gadis hitam manis berambut panjang itu boleh dihubungi bila-bila masa. Walaupun usia si gadis itu sudah lanjut, sekitar 35 tahun, tapi dia kelihatan cukup anggun kerana dia adalah seorang pegawai tinggi di sebuah bank di Kuala Lumpur.
"Belum sampai jodoh," kata gadis yang bernama Suhaily itu. "Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tidak, apa nak dikata."
Kerancakan perbualan dalam pesawat KLM KL - Jakarta itu amat menarik. Penerbangan satu jam 45 minit agak lama juga. Dapatlah berbual panjang kerana "rezeki" mendapat tempat duduk bersebelahan dengan Suhaily di tingkat atas bahagian eksekutif itu
Tapi selepas peristiwa itu, Datuk Zahir mula memikirkan sejalur pelangi. Kisah hidup yang penuh kepedihan kerinduan kesepian begini tak ubah seperti sejalur pelangi. Walaupun cantik dan indah mengenang masa lalu, tapi kehidupan itu sudah jauh ditinggalkan.
Seperti sejalur pelangi
melengkung di dada langit
indahnya pancaran warna
siapa tukang lukisnya
langit menjadi kanvasnya
tak nampak tepian
tak nampak hujungnya
dan kehidupan masa lalu
tak ubah seperti pelangi
tak seindah warnanya
kerana ia padam sendiri.
Dan kini, Datuk Zahir sudah meninggalkan Terrace Café dan kolam renang Kelab Saujana. Pemandunya, Zailan, sudah menunggu di hadapan lobi kelab bersama Audi A6 berwarna hitam dengan pintu yang terbuka. Sekejap saja kereta itu sudah berlalu. Tidak diketahui apakah Datuk Zahir masih teringatkan kisah si burung walet yang terlalu gembira, atau mungkin tidak perlu lagi berfantasi mahu meminjam kepak si burung walet untuk mencari sekuntum mawar merah atau mawar biru dari pulau ke pulau.
Datuk Zahir berseorangan di dalam bilik buku "Anjung Ilmu" di rumahnya petang ini. Petang-petang begini, selepas asar sebelum maghrib, amat sesuai sekejap membaca buku bersantai-santai. Cucu-cucunya yang ada tidak boleh mengganggu kerana pintu tertutup rapat. Zulaika pun telah berpesan kepada pembantu rumah, Susanti: "Jangan biarkan budak-budak mengganggu sekitar bilik buku."
Dan tiba-tiba, Datuk Zahir terdengar suara Susanti memanggil-manggil, gopoh-gopoh dan sekejap saja, pintu bilik "Anjung Ilmu" diketuk berkali-kali, kuat sekali. Gegar suara dan ketukan pintu berbaur dengan suara yang bertambah gugup. Datuk Zahir meluru dan terus menguak pintu. Susanti semacam menggigil.
"Datin sakit amat," katanya gugup. "Tolong Datin, tolong Datin."
Datuk Zahir meluru ke bilik Zulaika dan sekejap saja dia sudah terpacak di hadapan katil Zulaika.
"Ya, Allah!" Datuk Zahir terus mencapai telefon bimbit di sisi kepala katil. Tentunya dia menghubungi ambulans. Selepas itu, dia mencapai sebotol air mineral di atas meja kecil di sudut katil, membuka penutup botol itu, dituang sedikit air ke tapak tangan kanan dan dipercik air ke muka Zulaika, dilurut rata-rata ke muka Zulaika yang kelihatan pucat sekali.
"Ika!" Datuk Zahir memanggil. "Ika! Ika!!" terus memanggil-manggil, tapi Zulaika tidak bersuara. Dan Datuk Zahir terus mencapai tangan kiri Zulaika, lalu membelek-belek tapak tangan Zulaika, kemudian ibu jari Datuk Zahir cuba menekan urat nadi di pergelangan tangan Zulaika, tekan lama-lama.
"Oh! masih ada," meletus suaranya.
"Telefon anak-anak di kantor," perintah Datuk Zahir kepada Susanti.
"Baik Datuk," sahut Susanti masih gugup.
"Ika!" Datuk Zahir menepuk-nepuk pipi Zulaika kiri dan kanan. "Ika! Ika!!" diulang berkali-kali, tapi tidak berjawab, hanya kelihatan dahi Zulaika berkerut rapat, menahan kesakitan tentunya.
Dan tiba-tiba, dada Datuk Zahir menjadi sebak, dipaut dan digoncangnya bahu Zulaika. "Ika!" ulangnya, dan ketika itu, Datuk Zahir terus mencium pipi Zulaika kiri dan kanan dengan linangan air mata!
"Ika! Ika!" suaranya bergetar. "Percayalah, abang tak mahu sebarang mawar, kasih pertama tak pernah berakhir. Abang tak mahu sedikit kebahagiaan di hujung usia itu. Sembuhlah, biarlah abang terus menahannya, berkorban sepanjang hayat untukmu."
Di sini, di petang ini, tidak ada si burung walet, tidak ada. Kedengaran jeritan ambulans bertambah hampir ke kawasan elit, Taman Sunway Prima, Bukit Rahman Putra.